YMonday, October 10, 2005-5:04 pm
Artikel ni memaparkan realiti cabaran-cabaran pendakwah di Malaysia. Selamat membaca dan moga-moga kita dapat idea camna nak bekerja bila dah balik ke Malaysia nanti.
Oleh: Muhammad Sylvester Abdullah, Berita Harian
BERDAKWAH dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri. Latar belakang pelbagai etnik, bahasa, kecenderungan individu dan masyarakat berlainan mewujudkan cabaran dan pelbagai permasalahan kepada seorang Muslim yang mahu berdakwah.
Cabaran paling besar pada seorang pendakwah adalah dirinya sendiri. Ramai Muslim yang tidak sedar status kewajipan berdakwah. Oleh itu, mereka mengambil tugasan berdakwah sambil lewa. Berdakwah atau tidak bukan persoalan penting kepada mereka. Tanpa kesedaran bahawa status dakwah itu adalah wajib dan kefarduan kepada setiap Muslim, maka kemungkinan ia tidak dilaksanakan itu ada.
Umat Islam perlu tahu bahawa dakwah itu adalah fardu ain dan wajib ke atas setiap Muslim. Firman Allah bermaksud:
"Demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-3)
Cabaran kedua adalah keadaan dalaman dari umat Islam sendiri.
Keadaan sebahagian umat Islam yang mementingkan duniawi serta sensitiviti mereka terhadap teguran dan usaha pendakwah mungkin menimbulkan kesukaran kepada pendakwah. Kalimah seperti 'jangan jaga tepi kain orang' dan 'masing-masing jaga kubur masing-masing' mungkin manifestasi kepada cabaran ini.
Ketiga adalah dalam bentuk salah faham terhadap syariat Islam.
Salah faham ini bukan hanya berlaku kepada bukan Islam, malah di kalangan orang Islam sendiri. Hal ini dimanifestasikan dalam bentuk sama ada orang Islam sendiri tidak yakin atau tidak mengamalkan Islam dengan sempurna. Hasilnya adalah contoh kurang baik dari kalangan orang Islam. Contoh kepada masalah ini adalah salah faham terhadap kewajipan menutup aurat dan apa yang dikira sebagai menutup aurat dengan sempurna, pengharaman dadah, larangan terhadap pergaulan bebas dan sebagainya.
Cabaran keempat dalam bentuk cabaran luaran terhadap pendakwah.
Cabaran ini adalah dalam bentuk pemikiran dan cara hidup yang berpotensi mengalihkan orang Islam kepada bentuk yang tidak selari dengan pemikiran dan cara hidup Islam.
Dalam arena dakwah seorang Muslim adalah seperti seorang jurujual yang memasarkan satu barangan yang sangat berharga, di samping hiruk-pikuk penjual lain yang terlalu ramai memasarkan pelbagai barangan yang bersaing terus dengan barangannya. Yang menyenangkan hatinya adalah barangan yang dipasarnya adalah asli, paling berharga dan jauh lebih baik dari semua yang lain.
Kelima, ada pendakwah tidak sedar arena dakwah yang luas di hadapan mata mereka.
Ada pendakwah yang gagal melihat atau mengambil peluang dakwah yang ada di hadapan mata mereka.
Manusia mengharapkan kehidupan terbaik. Manusia juga mengharapkan kejayaan, kebahagiaan, keharmonian dan segala keselesaan, terutama ketenangan jiwa. Apabila seseorang itu menganut agama Islam, itulah yang akan diperolehnya.
Islam agama daripada Tuhan yang menciptakan manusia. Islam adalah agama yang diberikan oleh Tuhan yang Maha Mengetahui keadaan manusia. Setiap degupan jantungnya adalah dalam kekuasaan Tuhan.
Tuhan yang Maha Pemurah ini mahukan manusia beriman kepada-Nya. Tanggungjawab Muslim untuk berdakwah mengajak manusia kepada jalan-Nya. Tanggungjawab ini sekadar menyampaikan, tidak boleh memaksa kerana ajaran Islam menyuruh tidak ada paksaan dalam beragama.
Diharapkan pendakwah melakukan perubahan paradigma dalam dakwah dan melihatnya dalam semua aspek.
Pendakwah juga perlu membawa pendekatan baru dalam dakwah kepada yang belum Islam untuk memastikan keberkesanannya.
Diharapkan umat Islam mula menanam minat dan berusaha menimba ilmu dakwah supaya lebih ramai melakukannya dengan baik. Dalam suasana yang aman kini, ruang dakwah terbuka luas dan amat mudah untuk berdakwah.
-Hijaban Mastuuro-